Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) menyasarkan 100 pembedahan robotik merangkumi pelbagai disiplin menjelang akhir bulan Mei ini.
Naib Canselor Universiti Malaya, Profesor Datuk Seri Noor Azuan Abu Osman berkata sejak mula beroperasi pada 2 Disember 2024, sebanyak 92 perkhidmatan surgeri robotik telah dilaksanakan.
Antara pembedahan kompleks yang dilaksanakan termasuklah bidang Otorinolaringologi (ENT), Urologi, Kolorektal, Payudara dan pembedahan gastrointestinal atas.
Noor Azuan berkata, dengan ketepatan yang tinggi, invasif minimum, serta pemulihan pesakit yang lebih pantas, teknologi ini telah menjadi saksi kepada kesungguhan PPUM dalam memartabatkan kualiti rawatan setaraf antarabangsa, seiring arus kemajuan dunia.
“Pembedahan robotik membawa perubahan besar dalam cara kita merawat pesakit. Dengan teknologi ini, pembedahan menjadi lebih tepat, luka lebih kecil, dan tempoh pemulihan lebih cepat.
“Maknanya, pesakit boleh kembali sihat lebih awal dan mungkin lebih cepat balik rumah jumpa keluarga tersayang,” katanya berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Pertama Pembedahan Robotik, di PPUM, di sini, hari ini.
Noor Azuan berkata, kejayaan ini menunjukkan bahawa kepakaran anak tempatan mampu berdiri seiring dengan pusat perubatan terbaik dunia, malah menjadi kebanggaan negara.
Sebelum ini, PPUM merekodkan pencapaian apabila melaksanakan pembedahan robotik pertama di Malaysia bagi rawatan kanser payudara di mana sebanyak enam kes berjaya disempurnakan setakat ini.
Selain itu, PPUM terus mengorak langkah ke hadapan sebagai pelopor inovasi kesihatan serantau dengan mengintegrasikan teknologi Extended Reality (XR) yang berasaskan rangkaian 5G dalam latihan perubatan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang turut merasmikan majlis hari ini berkata, meskipun teknologi kecerdasan buatan (AI) dan robotik semakin digunakan dalam sektor kesihatan, peranan tenaga manusia tetap tidak boleh diketepikan.
Namun, beliau berkata, kewujudan teknologi tinggi sebegini mampu membantu dan meringankan beban petugas kesihatan serta keluarga pesakit.
“Memang ia (robotik dan AI) tidak akan menggantikan manusia. Dia mesin, apa-apa perlu kemas kini data itu. Justeru tenaga manusia masih diperlukan, namun ia boleh membantu meringankan beban semua pihak.
“Sebab itu sektor kesihatan menerima peruntukan tertinggi. Saya juga tanya PMX (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) kenapa nak potong-potong bajet ni. Dia (Anwar) kata, ia sebagai salah satu langkah penjimatan. Namun, yang asas tidak akan ‘disentuh’,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post PPUM sasar 100 pembedahan robotik menjelang akhir Mei ini appeared first on Kosmo Digital.
