Auto Added by WPeMatico

JOHOR BAHRU – Bekas pembantu penyelidik, Muhammed Yusoff Rawther yang dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan mengedar dadah dan memiliki dua pistol tiruan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur boleh membuat saman balas terhadap kerajaan serta polis.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, itu merupakan haknya sebagai seorang rakyat Malaysia.
“Di bawah undang-undang jika dia merasakan tahanan itu adalah tidak wajar, tindakan undang-undang boleh diambil seperti dalam kes Fahmi Reza.
“Jika ulasan diberikan polis tidak betul atau tidak memuaskan, inilah hak seorang warga Malaysia untuk ambil tindakan saman balik kerajaan dan polis,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Projek Membaca anjuran Kolej Universiti Selatan di pusat beli belah Midvalley Southkey, di sini hari ini.
Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai itu turut memberitahu, tindakan saman tersebut merupakan satu cara bagaimana rakyat boleh melakukan proses semak imbang terhadap pihak berkuasa.
Khamis lalu, Muhammed Yusoff dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki dua pistol tiruan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Dia juga konsisten mendakwa diperangkap serta menjadi mangsa penganiayaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Setiausaha Politik Presiden PKR itu iaitu Datuk Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak. – KOSMO! ONLINE
The post Yusoff Rawther boleh saman balik kerajaan, polis – Nie Ching appeared first on Kosmo Digital.