Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Amalan membasuh ayam mentah di bawah air paip yang mengalir deras tidak boleh membunuh kuman namn, sebaliknya boleh meningkatkan risiko pencemaran silang di dapur.
Menerusi satu perkongsian di Facebook, Public Health Malaysia (PHM) menjelaskan bahawa air paip tidak berfungsi membunuh bakteria pada ayam mentah.
Katanya, satu-satunya cara berkesan untuk membunuh kuman adalah dengan memasak ayam sehingga benar-benar sempurna.
“Yang membunuh kuman ialah masak sampai sempurna, bukan basuh dengan air paip,” jelasnya.
Tambah PHM, risiko utama amalan membasuh ayam adalah percikan air yang terkena permukaan ayam mentah. Titisan halus itu boleh merebak ke kawasan sekitar sinki dan melekat pada tangan, permukaan dapur, pinggan, papan pemotong serta makanan yang sudah sedia dimakan.
Keadaan itu sekali gus meningkatkan risiko pencemaran silang yang boleh membawa kepada keracunan makanan.
“Kalau anda nampak kotoran fizikal yang mengganggu, lebih selamat lap perlahan dengan tisu dapur, buang tisu terus, kemudian basuh tangan dan bersihkan permukaan,” katanya.
PHM turut menasihatkan orang ramai supaya memastikan ayam dimasak sepenuhnya kerana proses pemanasan itulah yang menjadi ‘pencuci’ sebenar bakteria berbahaya. – KOSMO! ONLINE
The post Basuh ayam dengan air tidak hapuskan bakteria appeared first on Kosmo Digital.

