Auto Added by WPeMatico

KETUA jurulatih skuad negara, Peter Cklamovski mendedahkan pemain warisan baharu, Nacho Mendez belum sedia menyarung jersi Harimau Malaya pada aksi antarabangsa menentang Singapura dan Palestin bulan depan.
Semalam, Cklamovski memanggil 29 pemain bagi menyertai kem latihan pusat bermula Isnin ini tetapi nama bintang baharu Johor Darul Ta’zim (JDT) berusia 27 tahun itu tiada dalam senarai.
Kata Cklamovski, kemungkinan besar Mendez akan dipanggil pada saingan antarabangsa pada Oktober depan melibatkan aksi kelayakan Piala Asia 2027 nanti.
“Mendez telah mempamerkan prestasi bagus dan pemain yang mempunyai minit permainan paling banyak (bersama JDT).
“Namun, senario melibatkannya lebih kepada faktor fizikal dan kecergasan. Saya ada bercakap dengannya sebelum ini dan dia sangat teruja untuk beraksi bersama skuad kebangsaan.
“Saya harap dia bersedia untuk dipanggil pada Oktober,” katanya pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
Sementara itu, Cklamovski teruja untuk melihat sumbangan daripada seorang lagi pemain warisan baharu, Richard Chin yang mewakili kelab Scotland, Raith Rovers.
“Richard memiliki ketangkasan dan teknik bola sepak yang bagus. Ini adalah peluang dia untuk membantu pasukan kerana dia mempunyai daya fizikal serta mentaliti yang kita mahukan,” katanya.
Dalam senarai panggilan antarabangsa, pengendali dari Australia itu telah mengekalkan 25 pemain daripada perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada Jun lepas.
Selain Richard, tiga lagi pemain baharu yang dipanggil ialah Sergio Aguero, Suhaimi Husin, Azam Azmi Murad. – KOSMO! ONLINE
The post Harimau Malaya ada sebab ‘simpan’ Mendez appeared first on Kosmo Digital.