Auto Added by WPeMatico

![]()
GEORGE TOWN – Bukan meminta kemewahan, sebaliknya hanya mengharapkan sebuah kerusi roda bagi memudahkan pergerakan dan meringankan beban ibu tersayang yang semakin dimamah usia.
Demikian hasrat seorang pesakit skizofrenia di Pasir Mas, Kelantan, Che Suzeli Nik Munir, 46, dalam menguruskan keperluan hariannya.
Namun, impian lelaki itu akhirnya tercapai apabila pejabat Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong menghulurkan bantuan dengan membelikan sebuah kerusi roda untuk kegunaannya, baru-baru ini.
Menerusi perkongsian di Facebook pegawai khas Steven Sim, Rosly Yusof, lelaki itu sebelum ini telah menghubungi Pusat Khidmat Ahli Parlimen berkenaan menerusi e-mel bagi memohon bantuan kerusi roda.
Katanya, permohonan dibuat selepas usahanya mendapatkan bantuan daripada beberapa pihak berkaitan tidak membuahkan hasil.
“Pihak pusat khidmat kemudian berusaha mendapatkan sumbangan kerusi roda daripada masyarakat setempat di Kelantan menerusi media sosial bagi mengelakkan kos penghantaran yang tinggi dari Pulau Pinang.
“Bagaimanapun, selepas beberapa hari menunggu tanpa ada pihak tampil membantu, pusat khidmat itu mengambil keputusan membeli sendiri kerusi roda berkenaan secara dalam talian sebelum menghantarnya terus ke kediaman Che Suzeli di Pasir Mas.
“Beberapa hari kemudian, kerusi roda itu selamat diterima dan Che Suzeli menghantar gambar sebagai tanda penghargaan kepada Steven Sim serta pasukannya,” katanya.
Rosly turut berkongsi kegembiraan dan rasa terharu lelaki tersebut selepas menerima bantuan berkenaan.
“Bagi Che Suzeli, sumbangan itu bukan sekadar memenuhi hasratnya untuk memiliki kerusi roda, malah memberi kelegaan dalam menjalani kehidupan seharian bersama ibu tersayang,” tulisnya. – KOSMO! ONLINE
The post Steven Sim tunai hasrat pesakit skizofrenia miliki kerusi roda appeared first on Kosmo Online.
