Auto Added by WPeMatico
10 tangki sedutan air dibina atasi gangguan bekalan Puncak Gloxinia

![]()
PAPAR: Sebanyak 10 unit tangki sedutan air jenis Polietilena Ketumpatan Tinggi (HDPE) berkapasiti 10,000 gelen setiap satu akan dibina di Perumahan Penjawat Awam Kondominium Puncak Gloxinia, Kinarut bagi menangani masalah gangguan bekalan air yang membelenggu penduduk.
Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Ali berkata, projek itu susulan Taklimat Penstabilan Bekalan Air Daerah Papar kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Nor pada 28 Julai lalu yang turut memberi tumpuan kepada kemajuan dua projek penyelesaian jangka panjang iaitu Projek Naik Taraf Muka Sauk Kampung Kabang dan Projek Naik Taraf Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon.
“Kedua-dua projek ini disasarkan beroperasi untuk penstabilan bekalan air bagi Parlimen Papar dalam bulan September dan November tahun ini.
“Dalam taklimat tersebut, turut berbangkit perancangan untuk membina 10 buah tangki sedutan jenis HDPE di Puncak Gloxinia, Kinarut, Papar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Armizan berkata, Puncak Gloxinia yang mula diduduki penghujung 2018 membabitkan enam blok dengan keseluruhan 1,296 unit rumah merupakan antara kawasan paling terkesan apabila berlaku gangguan bekalan air di LRA Kogopon.
Katanya, keadaan itu berlaku kerana lokasi perumahan berkenaan berada di penghujung saluran penerima air bagi tangki utama P3, selain struktur bangunan bertingkat 18 tingkat bagi setiap blok menyukarkan proses penghantaran bekalan air ketika gangguan berlaku.
“Walaupun terdapat 24 tangki simpanan atas (upper tank) sedia ada, kapasiti itu masih tidak mencukupi untuk menampung keperluan penduduk apabila berlaku gangguan bekalan.
“Berbeza dengan kawasan kampung atau perumahan teres, penghantaran air ke perumahan berstrata seperti ini lebih rumit kerana penghuni perlu mengangkut air dari aras bawah ke kediaman masing-masing,” katanya.
Menurut beliau, Jabatan Air Negeri Sabah akan membina 10 tangki sedutan tambahan berkapasiti keseluruhan 100,000 gelen selain memasang paip penghubung sepanjang 600 meter.
Katanya, penambahan kapasiti simpanan itu membolehkan bekalan air disalurkan kepada penduduk untuk tempoh lebih lama sekiranya berlaku gangguan sementara, sekali gus mengurangkan beban yang ditanggung mereka. – UTUSAN
The post 10 tangki sedutan air dibina atasi gangguan bekalan Puncak Gloxinia appeared first on Utusan Malaysia.
