Auto Added by WPeMatico

KUALA LUMPUR – Tahun 2040 bakal menyaksikan Malaysia muncul sebagai sebuah negara bangsa yang bersatu padu, saksama dan berdaulat dengan rakyatnya hidup aman tanpa mengira kaum atau agama.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, impian itu terkandung dalam Aspirasi Malaysia 2040 yang diumumkan Perdana Menteri dan akan menjadi panduan membina masa depan negara yang makmur serta berdaya saing di peringkat dunia.
“Negara bangsa ini akan berteraskan insan MADANI, nilai kerohanian dan jati diri yang teguh, di samping mengangkat prinsip Rukun Negara sebagai tonggak perpaduan,” katanya ketika merasmikan Minggu Harmoni Mesra 2025 di UCSI University di sini hari ini.
Beliau menegaskan, kepelbagaian agama, etnik dan latar belakang tidak akan lagi dilihat sebagai pemisah, sebaliknya menjadi kekuatan yang mengikat rakyat.
Aaron berkata, usaha membina negara bangsa itu akan digerakkan melalui reformasi pendidikan, pengukuhan integrasi nasional, semangat muhibah serta pembudayaan kesukarelawanan.
“Nilai hormat-menghormati, empati dan saling memahami akan terus diperkukuh bagi memastikan keharmonian negara sentiasa terpelihara,” ujarnya.
Menurutnya, komitmen Kerajaan MADANI adalah menjamin kehidupan yang selamat, aman dan bermaruah untuk semua rakyat demi masa depan negara yang cemerlang. – KOSMO! ONLINE.
The post 2040 akan lahir negara bangsa Malaysia -Aaron Ago appeared first on Kosmo Digital.