Auto Added by WPeMatico

SEBERANG PERAI – Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) yakin minat golongan belia terhadap sektor perkhidmatan awam kekal tinggi dengan jumlah permohonan dijangka mencecah sehingga 1.3 juta tahun ini meskipun jawatan yang ditawar tidak lagi disertakan skim pencen.
Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA), Datuk Seri Dr. Ahmad Jailani Muhamed Yunus berkata, walaupun dasar baharu itu masih diperingkat penilaian, namun jumlah permohonan jawatan kosong yang diterima amat menggalakkan.
“Kalau tahunan kita terima sehingga 1.2 juta permohonan dan mungkin tahun ini boleh capai hingga 1.3 juta. Apa yang boleh disimpulkan ialah permintaan untuk menyertai perkhidmatan awam masih lagi tinggi malah ramai yang berminat walaupun tiada lagi skim pencen.
“Oleh itu, kita mempelbagaikan program dan turun padang untuk memastikan golongan belia yang sedang mencari pekerjaan memperolehi maklumat terkini jawatan kosong melalui SPA,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di Kembara Kerjaya SPA @ Pulau Pinang 2025 di Perai, di sini hari ini.
Ahmad Jailani berkata, program tersebut telah berlangsung di empat lokasi iaitu di Sabah, Sarawak, Terengganu dan Pulau Pinang sepanjang enam bulan lalu dan akan turut diadakan di Kelantan, Putrajaya, Melaka, Perak, Johor serta Kuala Lumpur. -KOSMO! ONLINE
The post Ramai mohon kerja kerajaan walau tiada lagi skim pencen appeared first on Kosmo Digital.