Auto Added by WPeMatico

KLANG – Sikap segelintir penduduk tempatan yang menyimpan barangan lama seperti periuk belanga dan penutup tandas menyebabkan nyawa mereka menjadi taruhan apabila menjadi penyebab pembiakan nyamuk aedes di daerah ini.
Timbalan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Mohd. Zary Affendi Mohd. Arif berkata, tindakan mereka itu dipengaruhi oleh nilai sentimental terhadap barangan itu seterusnya menjadi cabaran dalam menangani aedes.
Katanya, barang-barang yang boleh menakung air kemudiannya diletakkan di sekeliling kawasan kediaman termasuk di lorong-lorong perumahan.
“Penyumbang terbesar di kalangan warga tempatan dengan lokaliti banyak taman perumahan dengan kebanyakan punca bukan dari sampah sahaja sebaliknya dari kawasan rumah sendiri.
“Kadang-kadang ada barang yang mempunyai nilai sentimental penduduk yang sayang untuk dibuang seperti periuk belanga, tayar, mesin basuh yang tidak di pakai lagi malah penutup tandas.
“Cabaran timbul apabila pihak berkuasa perlu mendapatkan kebenaran untuk masuk ke kawasan rumah bagi meminta membuang barang itu dibuang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Hari Kesihatan Persekitaran MBDK, hari ini.
Beliau bagaimanapun memaklumkan program kesedaran dan pendidikan berterusan telah berjaya mendidik masyarakat untuk sama-sama membanteras pembiakan Aedes.
Ujarnya, ini dibuktikan apabila kadar jangkitan denggi di daerah ini menurun dalam tempoh enam minggu terakhir termasuk pada minggu epidemiologi (ME) ke-39/2025, hari ini.
“Klang kini kedudukan keempat selepas Petaling, Hulu Langat dan Gombak. Malah, Klang kini merekodkan 10 kawasan wabak dan dua lokasi hotspot berbanding sebelum ini 40 hingga 50 wabak,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, MBDK turut mengambil tindakan terhadap individu yang membuang sampah dari kenderaan dengan bantuan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di lokasi panas aduan pembuangan sampah haram.
“Dengan CCTV kita dapat kesan hingga ke rumah, mengenal pasti wajah, nombor plat kenderaan dan alamat. Kompaun RM400 dikeluarkan menerusi notis kepada pesalah,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Sayang periuk lama, nyawa jadi taruhan appeared first on Kosmo Digital.