Auto Added by WPeMatico

DUNGUN – Seekor lagi beruang matahari yang tersesat memasuki Kampung Bukit Besi, di sini berjaya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) semalam.
Tangkapan terbaharu tersebut merupakan ketiga melibatkan haiwan liar spesies sama di perkampungan berkenaan dalam tempoh kurang dua bulan.
Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong berkata, beruang jantan dewasa dianggarkan seberat 90 kilogram itu dipercayai tersesat memasuki Kampung Bukit Besi pada Selasa lalu.
“Haiwan liar berkenaan masuk perangkap dipasang Perhilitan dalam tempoh 24 jam selepas aduan dibuat penduduk,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Bukit Besi, Ahmad Bakhir Chik berkata, beruang matahari jantan itu dikesan berkeliaran di kawasan kampung pada Selasa lalu.
Beliau berkata, beberapa penduduk kampung mengadu buah kelapa diusahakan mereka dicuri haiwan liar terbabit.
“Biarpun begitu, beruang matahari ini tidak ganas dan akan melarikan diri ke kawasan belukar berhampiran setiap kali bertemu manusia,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Seekor lagi beruang matahari masuk Bukit Besi ditangkap Perhilitan appeared first on Kosmo Digital.