Auto Added by WPeMatico

![]()
SEGAMAT – Lima sekeluarga dari Segamat yang menunaikan umrah terkandas di Madinah, Arab Saudi selepas penerbangan pulang ke tanah air dibatalkan pada saat akhir susulan konflik peperangan antara Iran, Israel dan Amerika Syarikat (AS) yang memuncak ketika ini.
Mohd. Qhairul Nazri Ridwan, 38, berkata, dia bersama isteri, anak, ibu mentua serta adik iparnya berlepas ke tanah suci pada 18 Februari lalu dan sepatutnya pulang ke Malaysia pada 28 Februari menerusi penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Abulaziz di Jeddah.
“Bagaimanapun, beberapa jam sebelum berlepas, kami dimaklumkan penerbangan pukul 1 pagi dibatalkan kira-kira pukul 8.30 malam ketika sedang menunggu untuk masuk ke lapangan terbang, kemudian ditunda antara 1 atau 2 Mac namun penerbangan turut dibatalkan menyebabkan pihak pengelola umrah membawa kami semula ke Madinah pada 2 Mac sementara menunggu jadual baharu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohd. Qhairul berkata, setakat ini mereka dimaklumkan akan pulang pada 5 Mac, namun masih belum menerima pengesahan rasmi penerbangan.
“Alhamdulillah kami semua sihat, cuma ada batuk dan selesema ringan. Saya risaukan anak berusia empat tahun dan ibu mentua yang warga emas,” ujarnya.
Menurutnya, kos penginapan bagi 24 jam pertama selepas dua pembatalan ditanggung pihak penerbangan, manakala penginapan 3 dan 4 Mac ditanggung pengelola umrah, namun pada 5 Mac perlu ditanggung sendiri.
Sementara itu, abangnya, Mohd. Qhairul Nizam Ridwan, 40, mengakui bimbang apabila mengetahui adiknya sekeluarga terkandas, namun lega selepas dapat berhubung melalui panggilan video. – KOSMO! ONLINE
The post Lima sekeluarga dari Segamat terkandas di Madinah appeared first on Kosmo Digital.
