Auto Added by WPeMatico

![]()
WASHINGTON – Penutupan kerajaan Amerika Syarikat (AS) muncul sebagai yang paling lama dalam sejarah negara itu hari ini, mengatasi rekod 35 hari yang dicatatkan semasa penggal pertama Presiden Donald Trump pada tahun 2018 hingga 2019.
Ia berlaku ketika pentadbiran Trump memberi amaran berhubung gangguan perjalanan udara musim cuti dan ancaman manfaat diterima rakyat Amerika dalam usaha untuk memaksa penyelesaian dicapai.
Agensi persekutuan telah terhenti sejak Kongres gagal mencapai sepakat meluluskan pembiayaan selepas 30 September lalu, manakala keadaan semakin sukar apabila program kebajikan termasuk bantuan berjuta-juta rakyat Amerika tergantung dalam keadaan tidak menentu.
Terdapat tanda-tanda kemajuan pertama yang rapuh dalam Kongres dalam mencari jalan keluar, walaupun buat masa ini seramai 1.4 juta pekerja persekutuan, daripada pengawal trafik udara hingga warden taman, masih bercuti secara paksa atau bekerja tanpa gaji.
Beberapa jam sebelum rekod penutupan berlaku pada tengah malam semalam (waktu tempatan), pentadbiran Trump memberi amaran mengenai kekacauan di lapangan terbang seluruh negara jika krisis itu berlarutan melebihi minggu keenam.
“Jadi, anda (wakil Parti Demokrat) akan melihat kekacauan besar-besaran. Anda akan melihat kelewatan penerbangan secara besar-besaran,” kata Setiausaha Pengangkutan, Sean Duffy pada sidang akhbar di Philadelphia.
“Anda akan melihat pembatalan besar-besaran, dan anda mungkin melihat kami menutup bahagian tertentu ruang udara kerana kami tidak dapat menguruskannya disebabkan tidak mempunyai pengawal trafik udara,” tambah beliau.
Perjalanan udara sepanjang curti Hari Kesyukuran dijangka mencatat rekod baharu tahun ini, dengan Persatuan Automobil Amerika (AAA) mengunjurkan seramai 5.8 juta orang terbang dalam negara sepanjang cuti 27 November.
Lebih 60,000 pengawal trafik udara dan pegawai Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan (TSA) bekerja tanpa gaji, manakala White House memberi amaran bahawa peningkatan ketidakhadiran boleh menyebabkan kekacauan di barisan daftar masuk.
Pekerja lapangan terbang mengambil cuti sakit yang membawa kepada kelewatan ketara penerbangan, menjadi faktor utama Trump menamatkan penutupan kerajaan pada 2019. – AFP
The post Penutupan kerajaan AS masuk hari ke-36, paling lama dalam sejarah appeared first on Kosmo Digital.