Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Vantris Energy Berhad, dahulunya dikenali sebagai Sapura Energy Berhad mengumumkan Keuntungan Selepas Cukai dan Kepentingan Minoriti (PATAMI) berjumlah RM4.27 bilion untuk suku ketiga yang berakhir pada 31 Oktober 2025, susulan penyempurnaan penstrukturan semula kewangannya.
Ia membalikkan Kerugian Selepas Cukai dan Kepentingan Minoriti (LATAMI) terkumpul sebanyak RM0.71 bilion yang dilaporkan pada separuh pertama tahun kewangan 2026, sebahagian besarnya didorong oleh keuntungan perakaunan material dan tidak berulang daripada penstrukturan semula.
Setakat tahun ini, Vantris Energy melaporkan PATAMI RM3.56 bilion, berbanding LATAMI sebanyak RM0.22 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Hasil untuk suku ketiga ialah RM0.98 bilion, manakala keuntungan perakaunan material tidak berulang termasuk pengiktirafan RM4.47 bilion dalam pengampunan hutang, hasil daripada penstrukturan semula.
Sehingga 31 Oktober 2025, nilai buku pesanan Vantris Energy berjumlah RM6.3 bilion, dengan tambahan RM3.9 bilion daripada usaha sama dan syarikat bersekutu.
Kumpulan baru-baru ini mengumumkan bahawa syarikat usaha samanya, Rawabi Sapura Limited Company telah dianugerahkan kontrak signifikan selama tujuh tahun bagi menyediakan perkhidmatan sokongan penyelaman penting untuk Aramco, salah satu syarikat tenaga dan kimia bersepadu terkemuka global.
Ketua Pegawai Eksekutif Vantris Energy Group, Muhammad Zamri Jusoh berkata, suku tahun ini menandakan titik perubahan bagi Vantris Energy.
“Penyiapan penstrukturan semula kewangan kami telah mengurangkan dengan ketara masalah kewangan yang telah lama mencabar kemajuan kami.
“Walaupun faedahnya semakin jelas, kami menyedari masih terdapat kerja yang perlu dilakukan, terutamanya dalam memperkukuhkan prestasi operasi. Keutamaan kami kekal menyampaikan keuntungan yang mampan melalui pelaksanaan berdisiplin merentasi perniagaan teras kami,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Melihat ke hadapan, keutamaan segera Syarikat adalah untuk keluar dari status Nota Amalan 17 (PN17) dengan mencapai keuntungan dua suku berturut-turut, mengekalkan momentum operasi dan mengukuhkan keyakinan pihak berkepentingan. – KOSMO! ONLINE
The post Vantris Energy lapor PATAMI RM4.27 bilion appeared first on Kosmo Digital.