Auto Added by WPeMatico

![]()
KOTA BHARU – Seorang penoreh getah mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah dengan menetak anak saudara angkatnya menggunakan sebilah parang di Pasir Puteh dekat sini pada minggu lalu.
Tertuduh, Noradin Ibrahim, 54, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja telah menyebabkan cedera parah terhadap Ahmad Firhan Hadi Hamzah, 44, dengan menggunakan sebilah parang.Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Kulim, Pasir Puteh dekat sini kira-kira pukul 6 petang pada 28 Oktober lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman yang penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nursyafiqah Mohamad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Nursyafiqah tidak mencadangkan jaminan berikutan tertuduh merupakan bapa saudara angkat dan tinggal bersama nenek mangsa.
Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin selain menetapkan 3 Disember depan untuk sebutan semula kes dan prosiding jatuh hukum.
Mengikut fakta kes, tertuduh menetak mangsa dengan menggunakan sebilah parang sehingga lelaki itu mengalami kecederaan pada bahagian depan dan belakang kepala.
Selain itu, doktor juga mengesahkan dua jari tangan kanan mangsa putus dan perlu dibuang untuk mengelakkan jangkitan kuman.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, dendam lama dan perselisihan faham menjadi punca seorang lelaki menetak anak saudara angkatnya dalam kejadian pergaduhan di Kampung Gong Kulim, Pasir Puteh dekat sini.
Difahamkan, pergaduhan dua lelaki itu dipercayai berpunca daripada isu-isu berkaitan sempadan tanah selain tanaman pokok getah.
Kejadian itu menyebabkan mangsa yang berusia 44 tahun parah pada bahagian lengan hingga bahu kanan dan sebahagian badannya selepas ditetak dengan senjata tajam. – KOSMO! ONLINE
The post Penoreh getah mengaku tetak anak saudara dengan parang appeared first on Kosmo Digital.