Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Jabatan Imigresen (JIM) mengesan taktik licik scammer yang menyasarkan majikan dengan menyamar sebagai pegawai Imigresen bagi meminta wang kononnya membebaskan pekerja warga asing yang ditahan dalam operasi penguatkuasaan.
Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, pihaknya menerima beberapa laporan mengenai panggilan palsu yang mendakwa kononnya daripada pihaknya, sebelum meminta bayaran melalui Touch ‘n Go eWallet atau secara tunai.
“Setiap kali kita buat operasi akan ada pihak yang menyalahgunakan nama Imigresen.
“Mereka menghubungi majikan dan meminta bayaran untuk membebaskan pekerja yang kononnya ditahan,” katanya kepada pemberita pada operasi di Pelangi Damansara, malam tadi.
Menurut beliau, majikan yang panik sering menjadi mangsa apabila terus membuat bayaran tanpa membuat semakan lanjut, sebelum datang ke pejabat Imigresen untuk memaklumkan bahawa mereka sudah membayar.
“Apabila diperiksa, nombor telefon scammer sudah disekat. Mereka turut menggunakan gambar pegawai Imigresen untuk meyakinkan mangsa,” katanya.
Khairrul Aminus berkata, terdapat kes majikan kerugian antara RM5,000 hingga RM10,000 bagi setiap pekerja dengan keseluruhan kerugian direkodkan bulan lalu mencecah RM57,000.
Beliau menegaskan, pihaknya tidak pernah meminta sebarang bayaran melalui panggilan telefon dan semua urusan pembebasan pekerja mesti dibuat secara fizikal di pejabat.
“Kita ingin menasihatkan majikan, jika pekerja anda ditahan datang ke pejabat dengan membawa pasport dan dokumen asal. Jangan berurusan dengan mana-mana pihak ketiga,” ujarnya.
Menurutnya, kes penipuan itu dikesan sejak September lalu dan laporan polis telah dibuat secara berkala bagi setiap insiden.
“Cara paling mudah untuk sahkan maklumat ialah hadir ke pejabat. Jangan percaya panggilan atau khidmat pesanan ringkas yang meminta bayaran kononnya daripada Imigresen,” jelasnya.
Beliau berkata, pihaknya akan terus memperhebat hebahan bagi memastikan majikan tidak menjadi mangsa sindiket penipuan yang semakin agresif itu. – KOSMO! ONLINE
The post Imigresen kesan taktik scammer perdaya majikan, kerugian cecah RM57,000 appeared first on Kosmo Digital.