Auto Added by WPeMatico

SHAH ALAM – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menyalurkan sumbangan Wakalah Zakat Korporat SSM berjumlah RM57,350 kepada Surau Nurul Iman, Kampung Lombong bagi mempermudahkan pengurusan jenazah di kariah tersebut, hari ini.
SSM dalam kenyataannya memaklumkan sumbangan sempena Program Titian Jannah: Sumbangan Mesin Pengorek Mini melibatkan satu unit mesin pengorek mini bernilai RM42,500 serta sebuah kontena penyimpanan berjumlah RM14,850.
Menurutnya, ia sebahagian daripada komitmen SSM dalam usaha meringankan beban pihak kariah, mempermudahkan urusan pengebumian serta memastikan pengurusan jenazah dapat dilaksanakan dengan tertib, lancar dan penuh penghormatan.
Sumbangan ini turut menyokong usaha ke arah kesejahteraan komuniti.
“Bagi tahun ini, SSM telah memperuntukkan dana untuk agihan sumbangan mesin pengorek mini kepada beberapa negeri terpilih.
“Secara keseluruhannya, sumbangan tersebut melibatkan tujuh unit mesin pengorek mini berserta kontena berjumlah RM401,450,” katanya hari ini.
Penyerahan mesin pengorek mini itu di sempurnakan Ketua Setiausaha, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Mohd. Sayuthi Bakar.
Mengulas lanjut, SSM berkata, sejumlah RM5.45 juta Dana Wakalah Zakat Korporat SSM telah diagihkan sejak 1 Januari hingga 31 Ogos lalu.
“Ini memberikan manfaat kepada 7,983 penerima asnaf di seluruh negara.
“Dalam tempoh yang sama, sebanyak RM406,426.60 Dana tanggungjawab sosial korporat (CSR) SSM turut disumbangkan kepada 492 penerima yang memerlukan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post SSM serah pengorek mini bantu urus jenazah kariah Kampung Lombong appeared first on Kosmo Digital.