Auto Added by WPeMatico

![]()
MANILA – Filipina menyatakan hari ini bahawa tiada bukti negara itu digunakan untuk latihan pengganas, sehari selepas laporan menyebut suspek kejadian tembakan rambang di Pantai Bondi, Australia berada di sebuah pulau terkenal dengan kumpulan pemberontak, sepanjang November lalu.
“(Presiden Ferdinand Marcos) menolak sekeras-kerasnya kenyataan meluas dan pencirian Filipina yang mengelirukan sebagai pusat latihan Daesh,” kata jurucakap presiden, Claire Castro pada taklimat akhbar.
“Tiada bukti dikemukakan untuk menyokong dakwaan bahawa negara ini digunakan untuk latihan pengganas,” tambahnya ketika membaca kenyataan Majlis Keselamatan Negara.
“Tiada laporan atau pengesahan bahawa individu yang terlibat dalam insiden Pantai Bondi menerima sebarang bentuk latihan di Filipina,” tambah kenyataan itu.
Kelmarin, pejabat imigresen negara itu mengesahkan bahawa kedua-dua suspek, Sajid Akram dan anak lelakinya, Naveed, memasuki Filipina pada 1 November menuju ke wilayah selatan Davao.
Dua beranak itu membunuh 15 orang dan mencederakan berpuluh-puluh yang lain pada sambutan Yahudi, Hanukkah di Pantai Bondi, Sydney.
Pulau Mindanao yang menempatkan Davao, mempunyai sejarah panjang pemberontakan ekstremis terhadap pemerintah pusat.
Pihak berkuasa Australia sedang menyiasat sama ada kedua-dua lelaki itu bertemu dengan kumpulan pelampau semasa perjalanan itu. – AFP
The post Tiada bukti penembak Pantai Bondi dilatih di Filipina appeared first on Kosmo Digital.