Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Kerajaan belum mempunyai cadangan khusus untuk memperkenalkan skim Dana Pendidikan Nasional secara automatik kepada setiap bayi yang dilahirkan, namun akan meneliti perkara tersebut dari semasa ke semasa.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abdul Halim berkata, kerajaan ketika ini memberi tumpuan kepada usaha menggalakkan budaya menabung melalui Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) yang dikendalikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Menurutnya, sehingga 30 Jun 2024, sebanyak 7.5 juta akaun SSPN telah dibuka dengan jumlah simpanan terkumpul mencecah RM25.5 bilion.
“SSPN menawarkan pelbagai insentif termasuk pelepasan cukai, dividen yang kompetitif, perlindungan takaful serta jaminan kerajaan, sekali gus menjadi instrumen simpanan yang selamat dan mampan bagi membiayai pendidikan tinggi.
“Pada tahun 2023, PTPTN memberikan dividen sebanyak 4.1 peratus, iaitu kadar tertinggi dalam tempoh 11 tahun kepada penyimpan SSPN,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Seri Vell Paari mengenai cadangan mewujudkan Dana Pendidikan Nasional bagi setiap bayi yang dilahirkan di Dewan Negara hari ini.
Adam Adli berkata, kerajaan berpandangan pendekatan membudayakan simpanan pendidikan sejak kelahiran adalah lebih mampan bagi mengurangkan kebergantungan pelajar kepada pinjaman pendidikan pada masa hadapan.
“Buat masa ini kerajaan belum ada cadangan khusus untuk memperkenalkan skim pelaburan atau program berbentuk Dana Pendidikan Nasional secara automatik kepada bayi yang dilahirkan.
“Bagaimanapun, kerajaan mengalu-alukan cadangan tersebut dan akan menilai pelbagai mekanisme baharu dari semasa ke semasa dengan mengambil kira kemampanan fiskal, impak kewangan jangka panjang serta keberkesanan pelaksanaannya,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Vell Paari sama ada kerajaan bersedia menyediakan sumbangan permulaan kepada bayi yang lahir, Adam Adli berkata, kerajaan pernah membuat pengiraan awal mengenai cadangan tersebut.
“Sebagai contoh, jika kerajaan memasukkan RM1,000 sebagai simpanan awal bagi setiap bayi dan tiada sebarang simpanan tambahan dibuat oleh ibu bapa, selepas 18 tahun dengan dividen sekitar empat peratus, jumlah itu hanya berkembang kepada kira-kira RM2,000.
“Namun, jika kerajaan memulakan caruman dan ibu bapa pula menyimpan sekitar RM60 hingga RM70 sebulan secara konsisten, simpanan itu boleh mencecah lebih RM20,000, iaitu hampir menyamai purata pembiayaan pinjaman pendidikan kepada seorang pelajar,” katanya.
Beliau berkata, usaha melahirkan generasi yang mampu melanjutkan pengajian tinggi tanpa bergantung kepada hutang memerlukan kerjasama antara kerajaan dan masyarakat. – KOSMO! ONLINE
The post Kerajaan belum bercadang perkenal skim pendidikan bayi appeared first on Kosmo Digital.
