Auto Added by WPeMatico

![]()
ALOR SETAR – Dua individu termasuk seorang pendakwah bebas direman buat kali kedua di Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi membantu siasatan kes bersubahat menyeleweng dana kira-kira RM1.3 juta.
Perintah reman selama tiga hari ke atas suspek lelaki dan wanita berusia lingkungan 30-an itu dikeluarkan Majistret Nur Amalina Abd. Rahman selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada pagi tadi.
Menurut sumber, kedua-dua suspek masing-masing merupakan pengarah urusan serta ketua jabatan kewangan dan perakaunan sebuah institusi pusat pendidikan dan dakwah di negeri ini.
Katanya, dua suspek terbabit yang direman sehari dan dibebaskan pada pukul 5 petang semalam ditahan sekali lagi kira-kira sejam kemudian di pejabat SPRM Cawangan Sungai Petani melibatkan satu siasatan lain.
“Kedua-dua suspek direman buat kali kedua bagi membantu siasatan kes bersubahat menyeleweng dana kira-kira RM1.3 juta yang dimasukkan ke dalam akaun persendirian,” katanya hari ini.
Sumber memberitahu, kes disyaki turut melibatkan kelulusan pembayaran untuk pembelian rumah bernilai kira-kira RM500,000.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Nazli Rasyid Sulong ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Kata beliau, SPRM Kedah dan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM telah melakukan siasatan berhubung kes tersebut sejak Oktober tahun lalu dan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Kosmo! semalam melaporkan dua suspek terbabit direman sehari bagi membantu siasatan kes bersubahat menyalahgunakan kuasa meluluskan bayaran kira-kira RM600,000 lapan tahun lalu.
Kelulusan bayaran kira-kira RM600,000 itu didakwa sebagai bayaran mengumpul dana institusi pusat pendidikan dan dakwah tersebut dipercayai dilakukan tanpa mendapat kelulusan daripada rakan kongsi lain. – KOSMO! ONLINE
The post Pendakwah bebas, wanita direman lagi bantu siasatan kes seleweng dana RM1.3 juta appeared first on Kosmo Digital.