Auto Added by WPeMatico

KUALA LUMPUR – Keghairahan pengunjung lelaki warga asing yang sedang asyik menikmati tarian tiang ala Bollywood terbantut apabila enam premis hiburan diserbu polis dalam Op Noda, awal pagi tadi.
Wartawatan Kosmo! yang menyertai serbuan bermula pukul 2 pagi mendapati kesemua premis hiburan itu terletak di sebuah kompleks di ibu negara dengan setiap satunya berada dari tingkat satu hingga enam bangunan tersebut.
Rata-rata penari wanita warga asing terdiri daripada Bangladesh, Nepal dan India meraih pendapatan sebanyak RM1,800 hingga RM2,000 sebulan.
Difahamkan, premis terbabit beroperasi bermula dari pukul 9 malam hingga 5 pagi.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, operasi bersepadu itu dijalankan Bahagian D7 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
Menurut beliau, serbuan dijalankan hasil risikan ke atas beberapa pusat hiburan yang dipercayai menggaji penari warga asing serta membenarkan pelanggan tanpa dokumen sah memasuki premis.
“Dalam operasi ini, seramai lapan individu berusia 24 hingga 43 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan Imigresen termasuk tiga lelaki warga Bangladesh yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan telah tinggal lebih lapan tahun di negara ini.
“Seorang wanita warga Indonesia mengaku tinggal selama empat bulan di Malaysia, dipercayai datang bersama teman lelaki warga India untuk berhibur,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, dua premis yang diserbu didapati menggaji pekerja warga asing sebagai penari dan pelayan tanpa permit kerja sah, malah turut dipercayai terlibat dalam aktiviti tidak bermoral.
Jelasnya, hasil pemeriksaan keseluruhan melibatkan lebih daripada 80 individu, majoritinya terdiri daripada lelaki warga India, Pakistan, Bangladesh dan Nepal, selain beberapa wanita warga asing dipercayai berperanan sebagai penari kelab.
“Kesemua tangkapan telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Menari tiang ala Bollywood dapat RM2,000 appeared first on Kosmo Digital.