Auto Added by WPeMatico

![]()
KOTA BHARU – Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan menetapkan kewajipan kepada 56 ketua balai polis di negeri ini untuk menangkap seorang penagih dadah setiap hari bermula 15 Julai lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, ketetapan itu diperkenalkan berikutan balai polis mempunyai sektor-sektor tertentu yang dekat dengan masyarakat sekali gus memudahkan proses tangkapan penagih dadah.
Katanya, misi untuk menangkap seorang penagih dadah setiap hari itu dijalankan selama tiga bulan iaitu sehingga Oktober depan sebelum semakan mengenai keberkesanan kaedah tersebut dikaji semula.
“Kita wajibkan ketua balai tangkap seorang penagih dadah setiap hari. Di peringkat ketua polis daerah fokus kepada tangkapan pengedar dadah, manakala Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK pula menangkap tokan besar atau sindiket.
“Sebelum ini, kita menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) dengan menangkap seramai 85 orang penagih dadah setiap hari di Kelantan. Kini, kita buat ketetapan baharu bermula daripada peringkat akar umbi terutamanya ketua balai yang pastinya tahu mengenai kewujudan penagih dadah di tempat mereka,” katanya pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan IPK Kelantan di sini hari ini.
Mohd. Yusoff memberitahu, dengan ketetapan itu, pegawai dan anggota yang gagal mencapai KPI tersebut akan dikenakan tindakan.
Menurutnya, beliau yakin ketetapan tangkapan secara harian itu membuatkan pengedar dadah akan lebih takut dan gerun untuk menjalankan kegiatan mereka.
“Kita mahu kerat di peringkat akar umbi lagi. Jadi, ketua balai perlu memainkan peranan untuk menangkap seorang penagih setiap hari.
“Apabila isu dadah dapat diselesai, saya yakin kes jenayah lain juga dapat ditangani. Berdasarkan siasatan lanjut, dadah sememangnya menjadi punca kepada segala kes jenayah,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Ketua balai polis di Kelantan wajib tangkap seorang penagih setiap hari appeared first on Kosmo Digital.
