Auto Added by WPeMatico

![]()
SEREMBAN – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuka urusan semakan Daftar Pemilih Tambahan Jun 2026 (DPT BLN6/2026) selama 30 hari bermula hari ini hingga 1 September depan.
Setiausahanya, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, DPT BLN6/2026 diperaku pada 31 Julai lalu sebelum diwartakan hari ini.
Menurut beliau, daftar itu mengandungi 34,066 warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 30 Jun lalu yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu.
“Turut disenaraikan ialah 32,148 pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 4,379 pemilih yang bertukar kategori pengundi atau status,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Khairul Shahril berkata, SPR menggesa semua warganegara yang genap berusia 18 tahun dalam tempoh berkenaan serta pemilih yang memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau kategori pengundi supaya membuat semakan bagi memastikan maklumat mereka direkodkan dalam DPT BLN6/2026.
Katanya, semakan boleh dibuat melalui portal SPR, portal Pejabat Pilihan Raya Negeri, aplikasi MySPR, aplikasi MySPR Semak atau Hotline Semakan Pendaftaran Pemilih di talian 03-8892 7218.
Beliau berkata, pemilih yang mendapati nama mereka tidak disenaraikan dalam DPT BLN6/2026 boleh mengemukakan tuntutan menggunakan Borang C melalui aplikasi MySPR atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri berkaitan.
“Dalam tempoh semakan sama, mana-mana pemilih berdaftar juga boleh mengemukakan bantahan terhadap kemasukan nama pemilih yang bertukar ke bahagian pilihan rayanya dengan mengisi Borang D.
“Borang C dan Borang D turut boleh dimuat turun melalui portal Pejabat Pilihan Raya Negeri sebelum dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri bersama fi bantahan pada waktu pejabat sepanjang tempoh semakan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Semak daftar pemilih tambahan mulai hari ini appeared first on Kosmo Digital.
