Auto Added by WPeMatico

![]()
ALOR SETAR – Suspek dipercayai menggunakan senjata tajam untuk menikam leher ibu tunggal sehingga tembus dari kiri ke kanan dalam kejadian di hadapan sebuah restoran di Jalan Titi Gajah, di sini malam tadi.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, senjata tajam tersebut sebagai contoh pisau ‘rambo’, alat pemecah ais atau pemutar skru.
“Berdasarkan kecederaan pada mangsa, kita percaya suspek menggunakan senjata tajam, contohnya sama ada seperti pisau ‘rambo’, alat pemecah ais atau mungkin juga pemutar skru,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini hari ini.
Sementara itu, kata beliau, mangsa yang juga ibu tunggal dua anak mengalami luka tikaman yang menembusi bahagian kiri hingga kanan leher.
“Mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan lanjut di Hospital Sultanah Bahiyah di sini,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Adzli berkata, suspek yang merupakan seorang duda berjaya ditahan kira-kira empat jam selepas melarikan diri sejurus kejadian.
“Suspek berjaya ditahan dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) kira-kira pukul 1.50 pagi tadi ketika bersembunyi di kawasan rumah ibadat (masjid) di Taman Uda.
“Dia dipercayai melarikan diri dengan meredah kawasan bendang untuk ke lokasi tersebut yang sejauh kira-kira 6.2 kilometer,” katanya.
Menurut beliau, suspek direman selama tujuh hari bermula semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata.
Tambahnya, suspek yang didapati negatif dadah turut mempunyai rekod kesalahan lampau membabitkan kes sama di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu menikam seorang wanita yang didakwa teman wanitanya.
Bagaimanapun katanya, suspek dilepaskan daripada pertuduhan tersebut selepas mangsa dalam kes terdahulu tidak berminat untuk meneruskan kes. – KOSMO! ONLINE
The post Pisau ‘rambo’, alat pemecah ais mungkin senjata tajam tikam ibu tunggal appeared first on Kosmo Digital.
