Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Papar, Sabah mendedahkan para pelajarnya sering mengalami tekanan emosi semenjak kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Menerusi hantaran dimuat naik guru terbabit di akaun Facebook Amit Hamid, ia ekoran orang ramai yang melalui pekarangan hadapan sekolah sering menjerit perkataan ‘pembuli’ dan ‘pembunuh’ kepada pelajar yang sedang beriadah atau menunggu giliran berwuduk.
“Rentetan kes tular sebelum ini ramai pelajar TDML tertekan dan emosi mereka sangat-sangat terganggu.
“Beberapa kali anak-anak TDML yang sedang beriadah menunggu giliran berwuduk mendengar jeritan pembunuh dan pembuli daripada kereta lalu-lalang di hadapan sekolah.
“Inikah suara keadilan yang ditegakkan oleh netizen? Seolah-olah semua warga sekolah ini adalah pembunuh dan pembuli,” tulisnya.
Lebih teruk lagi, guru itu berkata, akibat tekanan dan kerisauan yang semakin melampau, beberapa pelajar terpaksa memilih untuk berpindah ke sekolah lain malah jumlah tersebut semakin bertambah dari hari ke hari.
Secara tidak langsung, Amit berkata, situasi tersebut bakal menghancurkan institusi pendidikan agama Islam.
“Malahan kempen perhimpunan boikot sekolah di hadapan sekolah ini mendapat sambutan ramai di media sosial. Saya sangat-sangat sedih, terdapat golong agamawan turut terpengaruh dengan fitnah yang tersebar,” katanya.
Tambah Amit, seluruh warga sekolah juga mahukan keadilan buat arwah dan pihaknya percaya sebarang kisah berkaitan kes tersebut tidak pernah disembunyikannya.
Jelasnya, pihak bertanggungjawab telah menjalankan tugas debgan baik sejak hari pertama kejadian malah warga sekolah juga memberikan kerjasama dengan baik sepanjang siasatan berlangsung.
“Berilah ruang untuk kami warga TDML dapatkan ketenangan. Berilah kesempatan untuk anak-anak kami fokus dalam pelajar untuk menghadap peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang semakin hampir.
“Kami merayu dan memohon jangan ganggu anak-anak kami tidak bersalah, kami sayangkan sekolah ini. Hakikatnya Allah akan mengangkat doa-doa mereka yang dizalimi. Warga TDML tidak pernah diam atau membisu,” ujarnya.
Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 13, merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah dilaporkan meninggal dunia pada 17 Julai lalu selepas sehari menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, Sabah.
Mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama kira-kira pukul 3 pagi dan mengalami kecederaan parah sebelum dibawa ke hospital oleh pihak sekolah. – KOSMO! ONLINE
The post Dijerit pembuli, guru SMKA TDML rayu jangan ganggu murid tak bersalah appeared first on Kosmo Digital.