Auto Added by WPeMatico

SINGAPURA – Seorang pemandu di Singapura mengaku tidak sedikit pun berasa kesal kerana menyebabkan kematian seorang remaja berusia 18 tahun selepas kereta dipandunya berlumba dengan motosikal dibonceng mangsa, lapor akhbar Straits Times hari ini.
Jarrett Tee Lee Kiat, 30, dijatuhi hukuman penjara lima tahun lapan bulan pada 27 Jun lalu, selain lesen memandunya digantung 10 tahun. Dia mengaku bersalah memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian mangsa, Leann Lim Jia Le.
Dalam kejadian pada 23 Februari 2024, tertuduh memandu kereta Mercedes-Benz pada kelajuan 160 kilometer sejam apabila dia berlumba dengan motosikal dinaiki mangsa serta Kovan Tan, 27.
Ketika kenderaan mereka berada lebuh raya East Coast Parkway (ECP), tertuduh memotong motosikal Kovan sebelum kedua-duanya saling memotong.
Pada suatu ketika, apabila motosikal Kovan hampir memotong kereta tertuduh, dia menghalang motosikal tersebut dengan menekan brek mengejut.
Ia menyebabkan Kovan dan mangsa terpelanting pada jarak lima hingga 8 meter.
Tertuduh juga dilaporkan sempat berkata kepada penumpang keretanya: “Anda mahu lihat motosikal terbang?” sebelum menekan brek mengejut.
Tertuduh memberitahu bahawa mangsa menunjukkan isyarat jari tengah sebelum menipu polis bahawa motosikal tersebut mengekorinya serta menyalakan lampu tinggi.
Ketika ditanya oleh rakannya mengenai sama ada dia berasa takut dengan kemalangan itu, tertuduh menjawab: “Mengapa saya perlu takut? Siapa suruh dia membuat saya marah? Dia memang patut mati.” – AGENSI
The post Lelaki tidak kesal langgar mati pembonceng motosikal appeared first on Kosmo Digital.