Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Daripada hobi membersih dan mengemas, kini menjadi sumber rezeki halal buat seorang wanita apabila menjalankan perkhidmatan pembersihan.
Bukan sekadar perkhidmatan pembersihan rumah kediaman biasa, malah rumah pemilik ‘hoarding disorder’ (masalah pengumpul) juga dilakukan oleh Nur Ashiekin Johari Hamki, 26, yang kini sudah menjadi kerjaya utamanya.
Ashiekin yang pada mulanya hanya bekerja sambilan dengan mengikut individu lain melakukan perkhidmatan itu sebelum ini, kini telah mempunyai pelanggannya sendiri.
“Selepas kejadian itu, baru saya mulakan perkhidmatan pembersihan saya sendiri. Kemudian, saya mengambil pekerja untuk membantu saya mengemas rumah peninggalan lama dan orang yang mempunyai masalah mengumpul atau kemurungan.
“Saya lebih suka pembersihan menyeluruh berbanding mengemas biasa kerana bagi saya, bukan semua orang suka mengemas tetapi sebab saya memang minat dan memberikan kepuasan kepada diri melakukan kerja-kerja mengemas,” katanya.
Kerjaya itu mendapat sokongan keluarga dan suami, selain ideanya untuk mengembangkan perkhidmatan sehingga ke Melaka dan Kuala Lumpur dengan kebanyakan pekerja terlatih.
Tambahnya, caj perkhidmatan pembersihan ditentukan mengikut jumlah pekerja yang diperlukan serta keadaan rumah sama ada melibatkan masalah pengumpul atau pembersihan biasa.
Bagi rumah ‘hoarder’, caj biasanya bermula sekitar RM300 untuk tempoh empat jam dan boleh meningkat jika kerja lebih rumit atau memerlukan tambahan pekerja.
“Bagi saya, perkhidmatan pembersihan ini bukan sekadar mengambil upah pelanggan tetapi kerana saya sendiri memang suka mengemas dan menghias semula rumah,” kata Ashiekin. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Bukan sekadar upah, memang saya suka mengemas’ appeared first on Kosmo Digital.