Auto Added by WPeMatico

GEORGE TOWN – Proses membaiki paip pembentungan pecah yang mengakibatkan kejadian lubang benam di Jalan Burma dijangka mengambil masa lima hari untuk disiapkan sepenuhnya.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk A. Rajendran berkata, kerja-kerja pembaikan dilakukan secara berperingkat bagi mengurangkan kesan kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan.
Menurutnya, pihak Indah Water Konsortium (IWK) dengan kerjasama MBPP telah memutuskan supaya kerja dilakukan pada waktu malam bagi memberi laluan kepada pengguna jalan raya pada siang hari.
“Sekiranya dilakukan sepanjang hari hanya satu lorong boleh dibuka dan ini akan menyebabkan kesesakan serius, terutama di kawasan Jalan Penang hingga ke Jalan Macalister.
“Dengan pelaksanaan kerja pada waktu malam, kita masih dapat mengekalkan dua lorong pada siang hari walaupun kesesakan tetap berlaku,” katanya di sini, hari ini.
Semalam, sekitar pukul 9 pagi, paip pembentungan milik IWK pecah dan menyebabkan kerosakan serius pada permukaan jalan serta tercetusnya lubang benam di Jalan Burma.
Paip bertekanan tinggi itu (force main) menyalurkan sistem pembentungan utama di kawasan tersebut dan kebocoran mendadak menjejaskan struktur jalan. – KOSMO! ONLINE
The post Proses baiki lubang benam di Jalan Burma ambil masa 5 hari appeared first on Kosmo Digital.