Auto Added by WPeMatico

KUALA LUMPUR – Kutipan zakat melalui ejen di Wilayah Persekutuan mencatat peningkatan sebanyak 17.4 peratus pada tahun lalu, dengan jumlah kutipan mencecah RM74.3 juta berbanding RM63.2 juta pada tahun sebelumnya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, peningkatan itu bukan berlaku secara kebetulan sebaliknya hasil kerjasama erat, sistem cekap serta komitmen tinggi semua ejen kutipan zakat dilantik Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP).
“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada semua ejen atas pencapaian yang amat membanggakan ini.
“Ini bukan sahaja mencerminkan komitmen setiap ejen, bahkan menunjukkan bahawa kehadiran PPZ-MAIWP melalui saluran ejen semakin diyakini oleh para pembayar zakat,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Ejen Kutipan Zakat PPZ-MAIWP 2024, di sini hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa peranan ejen bukan sekadar mengutip zakat, sebaliknya memikul amanah besar terhadap organisasi dan masyarakat.
Menurutnya, dana zakat adalah hak asnaf yang wajib diurus secara telus, berdisiplin dan berintegriti, manakala pematuhan kepada garis panduan serta prosedur operasi standard (SOP) PPZ-MAIWP adalah satu kewajipan.
“Setiap proses daripada kutipan, pelaporan hinggalah penyimpanan rekod mestilah dilaksanakan secara kemas, sistematik dan sentiasa sedia untuk diaudit. Di sinilah pentingnya integriti,” tegasnya.
Dalam pada itu, Mohd. Na’im turut memaklumkan bahawa PPZ-MAIWP kini turut dipertanggungjawabkan dalam pengurusan kutipan wakaf di Wilayah Persekutuan.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar lebih ramai ejen tampil menawarkan perkhidmatan kutipan wakaf tunai sebagai satu lagi saluran ibadah yang besar ganjarannya.
“Saya difahamkan beberapa ejen telah pun menaik taraf fungsi mereka sebagai ejen kutipan wakaf dan ini adalah perkembangan yang amat membanggakan. Saya harap lebih ramai akan menyahut seruan ini,” katanya.
Pada majlis sama, PPZ-MAIWP turut menyampaikan anugerah kepada 16 ejen kutipan yang menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang tahun lalu antaranya Anugerah Kaunter Universiti Terbaik, Anugerah Saluran Offline Terbaik dan Anugerah Saluran Potongan Gaji Terbaik. – KOSMO! ONLINE
The post Kutipan zakat melalui ejen RM74.3 juta, meningkat 17.4 peratus appeared first on Kosmo Digital.