Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Sepasang suami isteri warga tempatan telah didakwa di mahkamah atas pertuduhan memperdagangkan seorang pembantu rumah wanita warga asing dengan cara ancaman di Seri Kembangan, baru-baru ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kedua-dua suspek berusia lewat 50-an itu dituduh pada 24 Oktober lalu.
Katanya, pertuduhan dilakukan di bawah Seksyen 13(a) Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan kini menunggu sebutan semula kes di mahkamah.
“Mangsa berusia lewat 40-an kini diberi perlindungan di bawah melalui Perintah Perlindungan Interim mengikut Seksyen 44(2) ATIPSOM 2007,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, tangkapan terhadap pasangan berkenaan dilakukan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang pada 20 Oktober lalu selepas menerima laporan berhubung kejadian penderaan itu.
Shazeli menegaskan PDRM memandang serius kes-kes melibatkan penderaan dan pemerdagangan orang, khususnya yang membabitkan pekerja warga asing di negara ini.
Pada 24 Oktober lalu, Kosmo! melaporkan, hanya kerana kesilapan kecil tidak memberitahu mahu menggunakan kicap ketika makan, seorang pembantu rumah warga Indonesia menanggung derita luar jangka apabila mulutnya dimasukkan air panas oleh majikan.
Kejadian kejam itu terbongkar selepas seorang lelaki berusia 37 tahun menerima mesej daripada adiknya yang memaklumkan tentang penderaan berlaku di rumah mereka pada pukul 2.30 petang, 19 Oktober lalu.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, selain itu mangsa turut diseksa di bahagian sulit, disimbah air panas ke kaki dan ditendang pada gigi sehingga patah. – KOSMO! ONLINE
The post Dera pembantu rumah: Suami isteri sudah didakwa appeared first on Kosmo Digital.