Auto Added by WPeMatico

MELAKA – Seorang bekas pembantu operasi didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas selepas didapati bersalah menerima rasuah berjumlah RM5,000, tiga tahun lalu.
Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Mohd. Rizuan Muhamad, 42, membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan pilihan kedua dan ketiga dibacakan jurubahasa mahkamah.
Berdasarkan kedua-dua kertas pertuduhan, tertuduh sebagai seorang penjawat awam iaitu Pembantu Operasi N11 yang memangku tugas sebagai Pembantu Kemahiran H19 di Kolej Matrikulasi Melaka ketika kejadian telah menerima untuk diri sendiri suatu suapan iaitu wang berjumlah RM5,000.
Suapan itu daripada seorang lelaki berusia 43 tahun sebagai dorongan memperakui perakuan siap kerja bagi kerja pembaikan jenang dan tingkap di institusi berkenaan yang bernilai RM484,580.
Kesemua kesalahan itu dilakukan di sekitar kawasan Kampung Padang, Pokok Mangga dalam daerah Melaka Tengah pada 15 Ogos dan 28 September 2022.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 161 Kanun Keseksaan.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Sharina Farhana Nor Sa’ari mencadangkan hukuman setimpal sebagai pengajaran manakala peguam tertuduh, Alif Ahmad Tarmizi merayu hukuman denda yang munasabah.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan atau lima bulan penjara jika gagal bayar dan memerintahkan telefon bimbit serta pasport dikembalikan kepada tertuduh.- KOSMO! ONLINE
The post Bekas pembantu operasi didenda RM10,000 selepas terima rasuah RM5,000 appeared first on Kosmo Digital.