Auto Added by WPeMatico

PORT DICKSON – Pengunjung di pantai peranginan di daerah ini mula mengambil langkah penjagaan dengan memakai pelitup muka susulan jerebu melanda negara ini sejak semalam.
Tinjauan mendapati, walaupun Indeks Pencemaran Udara (IPU) Port Dickson antara lima lokasi teratas tidak sihat sehingga pukul 9 pagi tadi, orang ramai masih beriadah seperti biasa.
Menurut salah seorang pengunjung yang ditemui, Muhamad Azman Zakaria, 63, dia bersama isteri dan anak-anak dari Linggi ke Pacitan, namun, singgah sebentar di Batu 1 untuk membeli barangan Jualan Rahmah dan beriadah seketika di tepi pantai.
“Keadaan jerebu ini biasanya disebabkan oleh kebakaran yang berlaku di negeri jiran. Jadi, jika ingin beriadah di tempat terbuka yang IPUnya tak sihat, wajarlah kita pakai kembali pelitup muka demi kesihatan kita.
“Malah, saya sendiri masih ada lebihan pelitup muka semasa pandemik Covid-19 yang lalu di dalam kenderaan dan boleh menggunakannya pada masa-masa jerebu seperti ini,” katanya, di sini hari ini.
Sementara itu, sehingga pukul 11.50 pagi tadi, empat lokasi di tiga buah negeri iaitu Negeri Sembilan, Selangor dan Pahang mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat.
Semakan menerusi laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendapati Nilai merekodkan bacaan IPU tertinggi iaitu 160, diikuti Johan Setia (155), Banting (152) dan Temerloh (101).- KOSMO! ONLINE
The post Jerebu: Pengunjung pantai Port Dickson pakai pelitup muka appeared first on Kosmo Digital.