Auto Added by WPeMatico

KEMAMAN – Gara-gara terperdaya dengan penipuan pelaburan dalam talian, seorang penjawat awam berputih mata kerugian lebih RM82,000 hanya dalam tempoh kurang tiga minggu.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd. Razi Rosli berkata, lelaki berusia 41 tahun itu mendakwa telah menyertai pelaburan perniagaan pelancongan dalam talian.
Beliau berkata, skim pelaburan tidak wujud tersebut diperkenalkan oleh seorang wanita warga Indonesia yang dikenali penjawat awam tersebut menerusi aplikasi WhatsApp.
“Mangsa mendakwa telah membuat tiga transaksi bermula 10 hingga 27 Julai lalu ke dalam tiga akaun bank berbeza dengan amaun keseluruhan berjumlah RM82,196.
“Dia mendakwa tidak pernah menerima pulangan daripada wang dilaburkan,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Razi berkata, mangsa yang menyedari dia ditipu tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman, di sini semalam.
Beliau berkata, kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai dinasihatkan tidak mudah terperdaya dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi dalam tempoh singkat,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Penjawat awam rugi RM82,000 diperdaya pelaburan pelancongan appeared first on Kosmo Digital.