Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Kerajaan sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang krisis di Asia Barat dengan memastikan semua Perwakilan Diplomatik Malaysia mempunyai pelan kontingensi yang sentiasa dikemas kini bagi melindungi rakyat Malaysia, termasuk jemaah umrah.
Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, pelan itu merangkumi pemetaan lokasi rakyat Malaysia, mekanisme komunikasi, penyelarasan sumber serta strategi evakuasi yang sistematik bagi memastikan tindakan bantuan dapat dilaksanakan secara teratur dan berkesan sekiranya berlaku kecemasan.
Menurutnya, pelan berkenaan akan digerakkan dan disesuaikan mengikut keperluan semasa berdasarkan tahap risiko, perkembangan situasi keselamatan setempat serta jumlah rakyat Malaysia yang terjejas.
“Keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia di luar negara kekal menjadi keutamaan kerajaan, termasuk jemaah umrah. Pejabat Perwakilan Diplomatik Malaysia sentiasa memantau rapat perkembangan situasi keselamatan di seluruh dunia, termasuk konflik di Asia Barat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Tuan Haji Musoddak Ahmad pada persidangan Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata, Kementerian Luar Negeri turut menggalakkan rakyat Malaysia yang berada atau akan melancong ke luar negara mendaftarkan keberadaan mereka dengan Pejabat Perwakilan Malaysia melalui e-mel, panggilan telefon atau sistem e-Konsular.
Selain itu, katanya, rakyat Malaysia turut digalakkan memuat turun aplikasi MyWorldAlert yang membolehkan maklumat kecemasan disampaikan dengan lebih pantas serta memudahkan mereka menghubungi Pejabat Perwakilan Malaysia berhampiran berdasarkan lokasi semasa untuk mendapatkan bantuan sewajarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Kerajaan sedia pelan evakuasi lindungi rakyat di Asia Barat appeared first on Kosmo Digital.
