Auto Added by WPeMatico

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memberikan kata dua kepada Hamas, dengan memberi amaran kepada kumpulan itu supaya menerima rancangan damai 20 butiran untuk Gaza atau ia berdepan akibatnya, lapor akhbar The Guardian.
Kedua-dua pemimpin itu bertemu di White House, Washington semalam sebelum mengadakan taklimat akhbar bersama di mana mereka memuji cadangan itu sebagai satu ‘kejayaan bersejarah dan lembaran baharu untuk Asia Barat’.
Namun, jelas bahawa Hamas tidak dirujuk mengenai syarat-syarat itu ketika seorang pegawainya, Mahmoud Mardawi berkata, kumpulan tersebut tidak menerima butiran pelan berkenaan pada masa pengumuman dibuat, lapor agensi berita Reuters.
Ia kemudian dimaklumkan bahawa pengantara Qatar dan Mesir bertemu dengan Hamas pada petang semalam untuk membentangkan kumpulan itu dengan rancangan damai.
Kedua-dua Trump dan Netanyahu menjelaskan bahawa mereka tidak menawarkan Hamas pilihan dalam perkara itu.
Sekiranya kumpulan tersebut enggan, Trump berkata: “Israel akan mendapat sokongan penuh saya untuk menyelesaikan tugas memusnahkan ancaman Hamas.”
“Namun, saya berharap kami akan mengadakan perjanjian untuk keamanan, dan jika Hamas menolak perjanjian itu Bibi, anda mendapat sokongan penuh kami untuk melakukan apa yang perlu dilakukan,” tambahnya dengan memanggil nama gelaran Netanyahu.
Perdana Menteri Israel itu kemudian berkata, sekiranya Hamas menolak rancangan tersebut, Israel akan menyelesaikan tugas itu dengan sendiri.
Terdahulu, White House mengeluarkan pelan 20 butiran yang bertujuan menamatkan perang di Gaza yang meletus selepas serangan maut pada 7 Oktober 2023.
Antara butiran itu termasuk menggesa gencatan senjata, pertukaran tebusan yang ditahan oleh Hamas dengan tahanan Palestin di Israel, pengunduran askar Rejim Zionis secara berperingkat dari Gaza, pelucutan senjata Hamas dan kerajaan peralihan yang dipimpin oleh badan antarabangsa. – AGENSI
The post Akur pelan damai atau terima padah – Trump appeared first on Kosmo Digital.