Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA- Peningkatan hampir dua kali ganda penerima biasiswa dan pendidikan percuma PTPTN kepada 10,000 pelajar daripada keluarga miskin tegar diyakini mampu membuka lebih banyak peluang pendidikan serta memutuskan rantaian kemiskinan melalui pendidikan.
Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, langkah yang diumumkan kerajaan di bawah Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 itu membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Madani dalam memastikan akses pendidikan tinggi yang inklusif dan saksama.
“Peningkatan ini memberi peluang kepada lebih ramai anak daripada keluarga miskin tegar untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi sekali gus memperkukuh mobiliti sosial dan pembangunan modal insan negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, sebelum ini kerajaan memperuntukkan RM120 juta setahun bagi membiayai 5,800 pelajar miskin yang mengikuti pengajian di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) menerusi Belanjawan 2026.
“Namun, menerusi pengumuman terkini, jumlah penerima manfaat telah ditingkatkan kepada 10,000 pelajar daripada keluarga miskin tegar yang tersenarai dalam pangkalan data e-Kasih,” katanya.
Dalam pada itu, PTPTN menyatakan sokongan penuh terhadap pelaksanaan dasar berkenaan dan komited untuk bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan bagi memastikan inisiatif tersebut dilaksanakan secara berkesan dan menyeluruh.
PTPTN turut optimis langkah itu akan terus memperkasakan ekosistem pendidikan negara demi masa depan Malaysia yang lebih mampan dan sejahtera.-KOSMO! ONLINE
The post 10,000 pelajar miskin tegar terima biasiswa PTPTN appeared first on Kosmo Digital.