Auto Added by WPeMatico

![]()
KLUANG – Pelajar lelaki sebuah kolej yang dipercayai terlibat dengan kematian seorang bayi perempuan di Taman Seri Suria di sini pada Rabu lalu dibebaskan hari ini selepas lapan hari ditahan reman bermula 30 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pelajar lelaki berusia 19 tahun itu bagaimanapun akan dijadikan sebagai saksi pendakwaan kepada pelajar perempuan yang melahirkan bayi perempuan berkenaan.
Katanya, selepas kertas siasatan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya, keputusan menetapkan pelajar lelaki itu dibebaskan dengan syarat dijadikan saksi pendakwaan.
Jelasnya, pelajar perempuan yang berusia 19 tahun dan kini ditahan di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang selepas melahirkan seorang lagi anak ketika dirawat di hospital berkenaan akan dituduh mengikut Seksyen 302 kerana membunuh.
“Pertuduhan ke atas pelajar perempuan berkenaan akan didaftar di Mahkamah Majistret Kluang esok (Jumaat),”katanya melalui kenyataan hari ini.
Terdahulu, pada 29 Julai lalu, pelajar lelaki berkenaan ditahan polis kira-kira pukul 1 petang selepas menerima laporan mengenai seorang pelajar wanita yang dimasukkan ke hospital kerana dipercayai baru melahirkan anak.
Siasatan lanjut di rumah sewa yang didiami pelajar wanita terbabit membawa kepada penemuan mayat seorang bayi perempuan yang sudah meninggal dunia dan terdapat beberapa kesan tikaman pada badan bayi tersebut, punca sebenar kematian masih dalam siasatan. – KOSMO! ONLINE
The post Pelajar kolej lelaki bebas, jadi saksi pendakwaan kes bunuh bayi appeared first on Kosmo Digital.
