Auto Added by WPeMatico

![]()
GEORGE TOWN -Seorang pejalan kaki warga emas dilaporkan maut selepas hampir 10 jam bertarung nyawa akibat kecederaan parah dirempuh sebuah kereta semasa melintas di Jalan Tun Dr. Awang, Bayan Lepas di sini, semalam.
Mangsa lelaki berusia 71 tahun itu disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP), kira-kira pukul 12.05 malam tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, kemalangan berlaku membabitkan sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki tempatan telah terlanggar seorang pejalan kaki dalam kejadian pukul 2.55 petang semalam.
“Kereta yang dipandu lelaki berusia 19 tahun ketika itu dalam perjalanan dari Bayan Lepas ke pusat bandar.
“Akibat daripada pelanggaran tersebut, mangsa pejalan kaki mengalami kecederaan parah dan disahkan maut (mati lewat) di Hospital Pulau Pinang. Bagaimanapun, pemandu kereta terbabit tidak mengalami kecederaan,” katanya di sini, hari ini.
Beliau memberitahu, pemandu kereta terbabit telah hadir membuat laporan polis dan diambil keterangan semalam.
Tambahnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, tular satu rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) berdurasi 12 saat yang memaparkan kejadian mangsa dirempuh sebuah kereta semasa melintas di lintasan pejalan kaki sebelum terpelanting beberapa meter dari lokasi tersebut.
Turut tular beberapa keping gambar keadaan mangsa yang terbaring di jalan raya dengan kecederaan pada badan dan kepala. -KOSMO! ONLINE
The post Maut selepas 10 jam bertarung nyawa dirempuh kereta appeared first on Kosmo Digital.
