Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – “Sehari dua ini saya cuba ke pejabat, tetapi upaya masih belum begitu kuat.”
Demikian luahan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang memaklumkan keadaan dirinya masih belum cukup kuat untuk kembali menjalankan tugas seperti biasa selepas pemergian isteri tercinta, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali, baru-baru ini.
Pada masa sama, Tun Mahathir pada hari ini turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu menyempurnakan urusan pengebumian Allahyarham.
“Selain itu, saya amat terharu kerana doa yang tidak putus-putus dipanjangkan kepada isteri saya, Hasmah sehingga sekarang, sama ada di pusara mahupun dari mana-mana sahaja,” ujarnya menerusi kenyataan.
Menurutnya, keadaan itu mengingatkannya supaya terus bersyukur kepada Allah SWT kerana telah ‘meminjamkan’ Allahyarham Tun Siti Hasmah untuk tempoh yang begitu lama.
“la mengingatkan saya, di dalam kesedihan yang begitu memedihkan, supaya saya terus bersyukur kepada Allah SWT kerana telah meminjamkan Hasmah sebegitu lama sehingga ke usia saya yang cuma masih tersisa sedikit sebanyak ini.
“Saya juga ingin mengambil peluang ini untuk meminta maaf jika sepanjang tempoh ini ada salam yang tidak saya sambut, lambaian yang tidak saya balas serta ucapan takziah yang belum saya jawab,” tambahnya.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, dianggarkan seramai 25,000 pengunjung melawat pusara Allahyarham Tun Siti Hasmah di Pusara Negara, Putrajaya sejak pemergiannya pada 28 September lalu.
Anak Allahyarham, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, beliau dimaklumkan mengenai perkara itu dan difahamkan terdapat dalam kalangan mereka yang datang dari luar negara.
Beliau berkata, penghormatan yang diberikan ke atas ibunya yang meninggal dunia pada usia 100 tahun itu sedikit sebanyak mengubati kesedihan bapa tercinta, Tun Mahathir atas kehilangan pasangan hidup tiga minggu lalu. – KOSMO! ONLINE
The post Saya cuba ke pejabat, tetapi upaya belum kuat – Tun M appeared first on Kosmo Online.
