Auto Added by WPeMatico

KUANTAN – Seorang pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan Polis (ASP) kekal dipenjara 12 bulan selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak rayuan terhadap sabitan dan hukuman atas kesalahan menerima rasuah tujuh tahun lalu.
Hakim Datuk Mohd Radzi Harun membuat keputusan itu selepas meneliti hujahan kedua-dua pihak dan mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen sebelum ini yang menjatuhkan hukuman penjara dan denda RM25,000 terhadap tertuduh, Hasbullah Ali Alias, 48.
Tertuduh yang diwakili peguam Ahmad Nur Faid Afiq Aziz bagaimanapun memohon penangguhan pelaksanaan hukuman selaras Seksyen 311 Kanun Tatacara Jenayah sementara menunggu rayuan didengar di Mahkamah Rayuan.
Mahkamah membenarkan permohonan penangguhan hukuman dan rayuan terhadap hukuman dengan syarat jaminan RM15,000, tertuduh perlu melapor diri pada setiap hari Isnin minggu pertama setiap bulan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga rayuan selesai, namun dibenarkan menggunakan pasport jika ada keperluan.
Namun begitu, mahkamah memutuskan tertuduh perlu memfailkan rayuan dalam tempoh yang ditetapkan dan jika gagal, jaminan akan dibatalkan dan hukuman penjara akan dilaksanakan serta-merta.
Tertuduh yang kini digantung tugas difahamkan sebelum ini telah membayar denda sebanyak RM25,000 dan wang jaminan sebanyak RM5,000.
Mengikut kertas pertuduhan, Hasbullah yang ketika kejadian bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat polis Kontinjen (IPK) Pahang didakwa menerima rasuah RM5,000 daripada seorang lelaki di sebuah restoran di Jalan Beserah di sini, pada pukul 12.37 tengah hari, 7 Mei 2018.
Wang tunai itu dipercayai sebagai suapan untuk diberikan kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi tujuan berkaitan satu kes dadah yang dikendalikan tertuduh ketika itu. – KOSMO! ONLINE
The post Hukuman 12 bulan penjara pegawai polis terima rasuah kekal appeared first on Kosmo Digital.