Auto Added by WPeMatico

GEORGE TOWN – Dua anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPD TL) dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan melakukan pemerasan terhadap seorang wanita yang merupakan pegawai khas kepada Exco negeri ini, Mac lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, Shahrizal Ali, 46 yang berpangkat Sarjan dan Fadzli Jamaludin,34, yang merupakan seorang Koperal tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan atas pertuduhan tersebut.
Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh secara bersama telah didakwa dengan sengaja telah melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakukan kepada Mandy Leow Zhia Hooi,31, berhubung risiko ditangkap oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bawah Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Perbuatan kedua-dua tertuduh itu mendorong wanita berkenaan menyerahkan wang bernilai RM1,000 terhadap tertuduh.
Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 14 Mac 2025, kira-kira pukul 2.25 pagi di tepi Jalan Anson, di hadapan Penang Buddist Association.
Pertuduhan terhadap kedua-dua tertuduh dikemukakan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan, jika sabit kesalahan.
Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Danial Amir Saad menawarkan wang jaminan RM6,000 bagi setiap tertuduh dan memohon agar mahkamah memerintahkan tertuduh tidak menganggu pengadu.
Peguam yang mewakili kedua-dua tertuduh, K.Mahendran memohon agar jaminan bagi kedua-duanya dikurangkan memandangkan mereka mempunyai tanggungan keluarga.
”Anak guam saya iaitu Shahrizal mempunyai enam orang anak dan berpangkat Sarjan serta memperoleh pendapatan bulanan RM4,000, manakala Fadzli pula berpangkat Koperal dengan pendapatan RM2,000 sebulan.
”Kedua-duanya telah diberi jaminan polis pada 24 April lalu dan mereka juga telah mematuhi syarat yang telah diberikan dan memberi kerjasama hadir ke mahkamah, jadi saya mohon jumlah jaminan dikurangkan,” katanya.
Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Jun ini sebagai tarikh sebutan kes.
Mahkamah juga memerintahkan agar kedua-dua tertuduh tidak menganggu pengadu sehingga kes selesai dibicarakan. -KOSMO! ONLINE
The post Sarjan, Koperal tak mengaku peras ugut pegawai khas Exco appeared first on Kosmo Digital.