Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA LUMPUR: Beregu wanita No. 1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah masih menggalas harapan terbesar Malaysia bagi memburu gelaran dunia yang bermula minggu depan, di New Delhi, India, walaupun kali ini beregu muda, Ong Xin Yee-Carmen Ting ada menemani mereka.
Bagaimanapun, prestasi terkini pasangan No. 5 dunia itu sedikit menggusarkan sejak Pearly pulih daripada kecederaan belakang.
Kebimbangan itu turut disuarakan oleh Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky yang mengakui Pearly-Thinaah masih belum mencapai 100 peratus prestasi sebenar mereka, tetapi, perubahan telah mula ditunjukkan beregu tersebut dalam sesi latihan.
“Saya rasa dalam latihan, corak permainan agresif mereka sudah dapatkan ‘sentuhan’ itu. Saya tengok tempo permainan mereka sudah ada, walaupun belum 100 peratus.
“Kita harap sebelum bertolak ke New Delhi nanti, tempo itu sekurang-kurangnya mencapai 90 ke 95 peratus, itu sudah cukup,” katanya kepada pemberita di sini, minggu lepas.
Ketika ditanya sama ada Pearly masih lagi dibelenggu dengan isu kecederaan belakang, Rexy memberi jaminan pemain tersebut telahpun bebas daripada masalah yang dialami dan cuma perlu mencari sentuhan yang dimahukan dalam permainannya.
Selaku beregu pilihan, Pearly-Thinaah akan mendapat ‘bye’ pada peringkat 64 terbaik dan mereka bakal berdepan sama ada pasangan Turki yang yang menghuni ranking No. 22 dunia, Bengisu Ercetin-Nazlican Inci atau Mysha Omer Khan-Taabia Khan dari Emiriah Arab Bersatu di pusingan kedua.
Cabaran sebenar menanti Pearly-Thinaah adalah di peringkat 16 terbaik dan jika tiada sebarang kejutan tidak diingini, gandingan itu dijangka bertemu beregu No. 13 dunia, Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari dari Indonesia.
Walaupun rekod pertemuan berpihak kepada Pearly-Thinaah 5-1, tetapi, gandingan Indonesia itu mampu menghadirkan masalah besar buat mereka jika tidak berhati-hati dengan kesilapan sendiri yang bakal menghadiahkan mata mudah kepada lawan.
Sekiranya halangan itu berjaya di atasi, beregu No. 3 dunia, Baek Ha Na-Lee So Hee dari Korea Selatan dan pasangan handalan Jepun yang menghuni ranking No. 2 dunia, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto adalah pencabar yang menanti Pearly-Thinaah di suku akhir serta separuh akhir.
Dalam pada itu, beregu No. 23 dunia, Xin Yee-Carmen akan membuka aksi mereka menentang pasangan ke-26 dunia dari Ukraine, Pohlina Buhrova-Yehveniia Kantemyr di pusingan pertama.-UTUSAN
The post Pearly-Thinaah semakin hampir dapatkan prestasi sebenar appeared first on Utusan Malaysia.
