Auto Added by WPeMatico

ROM – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam secara rasmi mengisytiharkan kebuluran berlaku di Semenanjung Gaza, kali pertama pengisytiharan seumpamanya di rantau di Asia Barat.
Pengisytiharan itu dibuat ketika pakar-pakar memberi amaran, 500,000 penduduk Palestin kini berdepan bencana kelaparan.
“Ini adalah kebuluran, kebuluran Gaza,” kata Penyelaras Bantuan kecemasan PBB, Tom Fletcher selepas panel Pengelasan Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC) mengesahkan kebuluran berlaku di Bandar Gaza dan kawasan sekitarnya.
Beliau menuduh dan menyalahkan Israel sebagai punca kebuluran berlaku kerana melakukan halangan sistematik terhadap penghantaran bantuan ke wilayah Palestin yang dilanda perang itu sejak 7 Oktober 2023.
Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengecam laporan disokong PBB itu sebagai pembohongan, manakala kementerian luarnya menegaskan: “Tiada kebuluran di Gaza.”
Pengumuman kebuluran itu dibuat oleh IPC iaitu gabungan pemantau yang ditugaskan oleh PBB, untuk memberi amaran tentang krisis yang bakal berlaku.
IPC mentakrifkan kebuluran sebagai keadaan apabila 20 peratus isi rumah mengalami kekurangan makanan akut.
Klasifikasi itu juga berdasarkan 30 peratus kanak-kanak bawah umur lima tahun di Gaza mengalami kekurangan zat makanan akut dan sekurang-kurangnya 2 dalam setiap 10,000 orang mati setiap hari akibat kebuluran.
Agensi-agensi PBB telah lama memberi amaran mengenai keadaan kemanusiaan yang semakin merosot di Gaza, khususnya apabila Israel meningkatkan serangan terhadap Hamas.
IPC yang berpusat di Rom berkata: “Lebih setengah juta orang di Semenanjung Gaza menghadapi bencana bercirikan kelaparan, penderitaan dan kematian,”.
IPC turut menjangkakan kebuluran akan merebak ke Deir el-Balah dan Khan Younis di selatan Gaza menjelang akhir bulan depan, dengan jumlah mereka yang terjejas meningkat kepada 641,000 orang.
IPC menegaskan bahawa ini adalah kali pertama kebuluran disahkan secara rasmi di rantau Asia Barat. – AFP
The post PBB rasmi umum Gaza kebuluran appeared first on Kosmo Digital.