Auto Added by WPeMatico

KUALA LUMPUR – Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) tahun ini mencatat sejarah tersendiri apabila menerima lebih 1.5 juta pengunjung dalam tempoh lapan hari, sekali gus menjadikannya antara penganjuran paling berjaya sejak 1981.
Pengerusi Pengelola PBAKL, Mohd. Khair Ngadiron berkata, hari kedua cuti sekolah (Jumaat) merekodkan seramai 250,000 pengunjung yang hadir dalam sehari.
“Saya fikir itu merupakan rekod tertinggi pernah dicatatkan dan saya dapati apabila pesta buku diadakan ketika musim cuti sekolah, sambutannya jauh lebih memberangsangkan,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Beliau turut memaklumkan pihaknya telah melakukan penambahbaikan bagi memastikan pesta buku kali ini lebih selesa dan teratur dengan menambah bilangan dewan dan mengubah susun atur reruai.
“Walaupun pengunjung ramai, tapi tidaklah sesak macam tahun lepas kerana kita telah buat pengubahsuaian susunan reruai.
“Tingkat lima pun kita gunakan sepenuhnya dan kawasan yang lebih luas membolehkan pengunjung ke reruai-reruai tertentu. Pempamer pun rasa gembira dengan sambutan tersebut,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Mohd. Khair berpandangan bahawa buku fizikal masih mempunyai tempat di hati rakyat Malaysia biarpun e-book semakin mendapat perhatian.
“Pegang buku tidak sama dengan pegang telefon. Buku ada nilai autentik, boleh diselak dan kita tahu siapa penerbitnya. Saya percaya buku akan tetap kekal dan relevan,” katanya.
Beliau turut berkongsi bagaimana permintaan terhadap buku-buku lama masih tinggi apabila ada buku yang dahulu hanya berharga RM1 kini dijual pada harga sehingga RM250 kerana nilai koleksinya.
Tambah Khair, PBAKL kali ini menyaksikan penyertaan 258 pempamer, termasuk 28 daripada luar negara seperti Timur Tengah selain penyertaan pempamer tempatan yang mempamerkan buku-buku terbitan antarabangsa.
“Mereka sendiri minta kita lanjutkan hari kerana sambutan yang diterima luar biasa. Ini menunjukkan semangat cinta mereka (pengunjung) terhadap buku amat tinggi,” ujarnya.
Menurutnya, kehadiran delegasi dari lebih 23 negara sempena Asean Rights Fair (ARF) turut memeriahkan lagi suasana pesta buku tahun ini.
Mohd. Khir turut berkata, pihaknya juga kini sedang menjalankan kaji selidik terhadap pempamer dan pengunjung pesta buku tahun ini bagi menyediakan perkhidmatan yang lebih baik lagi demi pencinta buku dan PBAKL tahun hadapan.
“Kita sudahpun melantik konsultan bagi tujuan mengkaji penganjuran dan pempamer PBAKL kali ini agar kita dapat mengambil pandangan mereka dan mencernakan apa yang dicadangkan,” jelasnya – KOSMO! ONLINE
The post PBAKL catat jumlah pengunjung tertinggi lebih 1.5 juta appeared first on Kosmo Digital.