Auto Added by WPeMatico

![]()
KLANG – Taktik licik sindiket menukar bot pom-pom pengangkut barangan kepada alat seludup 78 migran gagal apabila dikesan pihak berkuasa kira-kira tiga batu nautika barat daya Sungai Air Tawar, Bagan Nakhoda Omar, semalam.
Kesemua PATI yang merupakan warga Indonesia dan Bangladesh termasuk 29 wanita berusia ditahan pukul 3.30 pagi.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Selangor, Komander Maritim Mohd. Fairusnizam Abdul Razak berkata, kejayaan itu hasil risikan pihaknya dengan bot itu dipercayai bertolak dari Jeti Nelayan Batu Bara, Indonesia, kira-kira pukul 8 malam kelmarin.
Katanya, sebelum berjaya dipintas, seorang individu dipercayai tekong bot bertindak terjun ke laut dan berjaya meloloskan diri.
“Seramai 78 PATI yang ditemui di ruangan simpanan barang bot tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Bot pom-pom Indonesia itu kebiasaannya hanya mengangkut barangan namun diambil kesempatan oleh sindiket untuk menyeludup masuk PATI ke Malaysia,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Maritim Selangor di sini, hari ini.
Jelas Mohd. Fairusnizam, siasatan awal mendapati bot itu tidak sempat melakukan pemindahan PATI di lokasi transit perairan tersebut.
Tambahnya, pihak percaya kesemua PATI menyusup masuk bagi mencari dan kembali bekerja di negara ini sebelum Ramadan. – KOSMO! ONLINE
The post Ambil kesempatan guna bot pom-pom ‘angkut’ PATI appeared first on Kosmo Digital.
