Auto Added by WPeMatico

![]()
JOHOR BAHRU – Seorang ejen sindiket ‘pasport terbang’ diberkas dalam Ops Serkap di sebuah pangsapuri di Taman Daya, di sini, Khamis lalu.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor, Datuk Mohd. Rusdi Mohd. Darus berkata, pihaknya melakukan serbuan berkenaan selepas risikan selama dua minggu.
Katanya, premis berkenaan disyaki dijadikan markas operasi sindiket berkenaan.
“Dalam serbuan pukul 6.50 petang itu, anggota penguat kuasa menemukan sejumlah sembilan pasport warganegara asing, yang digunakan sebagai dokumen perjalanan untuk tujuan keluar masuk negara dipercayai mendapatkan cap keselamatan secara tidak teratur.
“Dalam operasi ini, seorang warga tempatan berumur 44 tahun ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Pasport 1966 (Akta 150).
“Hasil siasatan, sindiket mengenakan caj sebanyak RM850 untuk setiap pemilik pasport,” katanya dalam kenyataan di sini.
Mohd. Rusdi berkata, siasatan awal mendapati suspek tersebut merupakan ejen sindiket berkenaan.
Katanya, individu tersebut kini ditahan di Bahagian Penguatkuatkuasa Negeri Johor untuk siasatan lanjut dan tindakan selanjutnya mengikut peruntukan undang-undang.
“Kita memandang serius sebarang bentuk penyalahgunaan pasport dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat kerana perbuatan ini boleh mengancam keselamatan negara.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak menyerahkan pasport kepada mana-mana pihak lain dan segera melaporkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia sekiranya mempunyai maklumat berkaitan kegiatan penyalahgunaan dokumen perjalanan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Caj urus ‘pasport terbang’ RM850 appeared first on Kosmo Digital.