Auto Added by WPeMatico
Pasangan warga asing didakwa bunuh budak lelaki lima tahun

![]()
GEORGE TOWN : Seorang wanita warga Indonesia dan teman lelakinya warga Bangladesh dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun, bulan lepas.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh iaitu Dina Hayati, 30, dan teman lelakinya, Sany, 34, ketika pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Noor Idayu Salim kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Difahamkan, mangsa merupakan anak kepada wanita berkenaan hasil perkahwinannya dengan seorang lelaki etnik Rohingya yang bagaimanapun telah meninggal dunia, tahun lalu.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka secara bersama-sama telah membunuh dan menyebabkan kematian ke atas seorang kanak-kanak lelaki yang mempunyai kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di ruang tamu tingkat 2 Lintang Merak, Sungai Dua, dalam daerah Timur Laut kira-kira pukul 9.30 pagi pada 23 Julai 2026.
Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama. Sabit kesalahan, kedua-duanya boleh dihukum gantung sampai mati atau dipenjara antara tempoh 30 hingga 40 tahun serta dikenakan sekurang-kurangnya 12 kali sebatan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Danial Amir Saad manakala kedua-dua tertuduh pula tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan 6 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula bagi kes berkenaan.
Sebelum ini, media melaporkan, pasangan warga asing terbabit telah direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kematian kanak-kanak lelaki berusia lima tahun itu.
Difahamkan, dalam kejadian tersebut, mangsa telah dibawa ke klinik oleh teman lelaki ibunya kira-kira pukul 10 pagi selepas mengalami muntah-muntah di rumah sewa yang mereka diami di sini.
Mangsa yang tidak sedarkan diri ketika kejadian bagaimanapun disahkan meninggal dunia sebelum pihak hospital membuat laporan polis selepas menjumpai kesan lebam pada seluruh badan kanak-kanak lelaki tersebut dipercayai akibat didera.-UTUSAN
The post Pasangan warga asing didakwa bunuh budak lelaki lima tahun appeared first on Utusan Malaysia.
