Auto Added by WPeMatico

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini melancarkan Operasi Selamat Paru-Paru (Ops Selamat Papa) di seluruh negara sebagai langkah tegas membanteras penjualan rokok dan vape kepada orang belum dewasa (OBD).
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, operasi berkenaan merupakan usaha memperkukuh penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang dilihat sebagai benteng pertahanan melindungi generasi muda daripada ancaman ketagihan nikotin.
“Ops Selamat Papa dilaksanakan secara serentak di seluruh negara – dari bandar besar hinggalah ke desa – dengan penglibatan pelbagai agensi penguat kuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) dan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya pada sidang media di Sport Hall, KL Traders Square, Setapak, hari ini.
Beliau berkata, penguatkuasaan akan memberi tumpuan kepada larangan menjual produk merokok kepada OBD, larangan promosi dan pemberian percuma, penjualan rokok tidak mengikut harga ditetapkan serta pelabelan yang tidak mematuhi syarat.
“Matlamat kita jelas, ia adalah untuk memastikan anak-anak kita membesar dalam persekitaran bebas asap rokok, dengan minda dan tubuh yang sihat. Akal yang sihat datang daripada tubuh yang sihat,” tegas beliau.
Menurutnya, Ops Selamat PaPa menjadi simbol permulaan era baharu memerangi tabiat merokok dalam kalangan generasi muda, selaras dengan aspirasi mewujudkan masyarakat yang mampu ‘menghirup udara segar’ tanpa ancaman rokok dan vape. – KOSMO! ONLINE.
The post Ops Selamat PaPa lindungi kanak-kanak daripada ancaman rokok dan vape appeared first on Kosmo Digital.