Auto Added by WPeMatico

ISKANDAR PUTERI – Tular di media sosial Facebook aksi bertumbuk dan perang mulut antara dua lelaki yang disyaki berpunca daripada perselisihan faham isu berkaitan tempat letak kenderaan di sebuah pasar raya terkemuka di Bukit Indah di sini, petang semalam.
Dalam video berdurasi 40 saat itu menunjukkan seorang pemuda berseluar pendek yang menaiki kereta jenis Toyota Vios dilihat berkelahi dengan seorang lelaki dewasa yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire berpendaftaran Singapura.
Turut kedengaran kata-kata kesat dikeluarkan seorang wanita yang disyaki rakan atau ahli keluarga si lelaki berseluar pendek.
Pergaduhan itu bagaimanapun dileraikan seorang lelaki lain yang bertindak menenangkan keadaan sebelum pemandu Toyota Vellfire memandu kenderaan dan masuk di tempat parkir.
Difahamkan, kejadian itu dipercayai berpunca pemuda menekan hon keretanya selepas menunggu lama ekoran Toyota Vellfire menunggu giliran untuk masuk parkir.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumar berkata, pihaknya mengesahkan kejadian itu berlaku di tapak letak kenderaan di sebuah pasar raga di kawasan Taman Bukit Indah di sini.
Katanya, siasatan lanjut sedang dilakukan dan kejadian disyaki berpunca daripada perselisihan faham antara lelaki warga tempatan berusia 21 tahun dan lelaki warga Singapura berusia 49 tahun.
Jelasnya, perselisihan faham tercetus akibat isu parkir kenderaan.
“Orang ramaj dinasihatkan agar bertolak ansur ketika berdepan situasi salah faham dan mengelakkan sebarang tindakan agresif kerana perbuatan itu mengundang insiden tidak diingini,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Dua lelaki ‘bertumbuk’, perang mulut berebut parkir appeared first on Kosmo Digital.