Auto Added by WPeMatico

REMBAU – Seorang wanita warga emas maut, manakala suaminya parah selepas motosikal berkuasa tinggi Kawasaki ER250-C yang dinaiki terbabit kemalangan di kilometer 231.6, Lebuhraya Utara Selatan (arah Selatan), di sini, malam semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Azmi Ali berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 11.10 malam itu, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa motosikal yang ditunggang telah hilang kawalan dan terbabas di lorong kecemasan.
Menurutnya, susulan itu, pembonceng iaitu si isteri berusia 69 tahun telah tercampak di lorong kiri jalan dan mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian badan, kaki serta tangan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Manakala, penunggang iaitu lelaki berusia 60 tahun mengalami kecederaan parah dibahagian kepala dan masih mendapatkan rawatan di zon merah Hospital Alor Gajah.
“Mayat telah di bawa ke Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau untuk tujuan bedah siasat pagi ini bagi mengetahui punca kematian,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Ujar Azmi lagi, kedua-dua mangsa beralamat di Padang Temu, Melaka dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Menurutnya, siasatan lanjut masih diteruskan termasuk usaha mencari saksi bebas berhubung kemalangan berkenaan. – KOSMO! ONLINE
The post Isteri maut, suami parah, motosikal berkuasa tinggi terbabas di lebuh raya appeared first on Kosmo Digital.