Auto Added by WPeMatico
Baru seminggu habis LIMA’25, dah siap tempah ‘homestay’ untuk 2027

PETALING JAYA – Belum pun sempat reda bahang kehangatan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25), segelintir pengunjung sudah pun mengambil langkah awal dengan menempah penginapan bagi edisi seterusnya pada tahun 2027.
Trend ini dikesan sejak semalam apabila beberapa pemilik inap desa di sekitar Langkawi berkongsi perbualan pelanggan mereka yang ingin membuat tempahan penginapan bagi tempoh sekurang-kurangnya seminggu walaupun tarikh rasmi LIMA’27 masih belum diumumkan.
“Kami terkejut apabila menerima beberapa tempahan terus untuk LIMA bagi tahun 2027, siap dengan bayaran deposit. Mereka kata, serik berebut tempat tahun ini,” kata Wan Aziz.
“Dahsyat, homestay (inap desa) kami dah full house (penuh) untuk bulan Mei 2027. Depa (mereka) kata tempah sesiap untuk LIMA 2027. Rezeki Allah nak bagi,” kongsi Fadillah.
LIMA’25 yang berlangsung dari 20 hingga 26 Mei lalu mencatatkan kehadiran kira-kira 450,000 pengunjung, menjadikannya antara edisi paling berjaya dalam sejarah penganjuran acara itu.
Kesesakan lalu lintas dan kesukaran mendapatkan tempat penginapan pada saat akhir menjadi antara rungutan utama para pengunjung sehingga mendorong mereka mengambil langkah awal bagi edisi akan datang.
“Alhamdulillah dah book (tempah) apartmen sekitar Chenang untuk LIMA 2027 dan semoga dipermudahkan urusan, panjang umur untuk LIMA 2025,11 hari 10 malam untuk 2027. Kita tambah sikit sebab aura masih membara. Lekaih (cepat) tempah bak kata orang Kedah, ‘awai tak kalut’,” kata Suhaimi Marshall.
Menurut pengguna Facebook itu, setiap edisi LIMA dia dan keluarga tidak pernah melepaskan peluang untuk memeriahkan acara berprestij itu.
“Saya tiap-tiap bulan masuk sana (Langkawi) abang dan untuk LIMA dah berkali dah pergi, tapi aura LIMA ini lain mcm tak sama macam kita pergi bercuti ke Langkawi hari biasa. Bagi pendapat saya hargai selagi ada acara macam ini,” katanya.
Menerusi tangkap layar perbualan WhatsApp antara Suhaimi Marshall bersama pemilik inap desa, dia membuat tempahan bagi edisi akan datang adalah selama 12 hari 11 malam iaitu sehari lebih berbanding tahun ini.
Terdahulu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata, angka pengunjung menunjukkan sambutan luar biasa terhadap LIMA’25 meskipun cuaca tidak menentu sepanjang penganjuran.
Beliau berkata, walaupun hujan lebat pada hari penutup, ribuan pengunjung tetap hadir ke tapak pameran dan menyaksikan pertunjukan aerobatik yang berlangsung.
Selain kehadiran pengunjung yang tinggi, lebih 2,000 pertemuan perniagaan turut direkodkan sepanjang lima hari acara berlangsung. – KOSMO! ONLINE
The post Baru seminggu habis LIMA’25, dah siap tempah ‘homestay’ untuk 2027 appeared first on Kosmo Digital.